Wednesday, December 17, 2014

PUSAT LATIHAN TEMPUR TENTERA DARAT (PULADA)


Latar Belakang

Selepas tamat Peperangan Dunia Kedua dan penyerahan kalah pihak Jepun ke atas Malaya, pihak Inggeris merasakan sebuah pusat latihan untuk melatih tentera-tentera Inggeris dalam peperangan hutan amat diperlukan. Hasrat ini timbul hasil pengalaman dan pengajaran dalam peperangan yang dilaluinya di Asia Tenggara. Bagi merealisasikan hasrat ini, pada tahun 1948, pihak Inggeris telah menubuhkan sebuah Pusat Latihan Timur Jauh (Far East Training Centre) di Tampoi, Johor. 

Pada tahun 1951, Pusat latihan ini telah dipindahkan ke Ulu Tiram, Johor (lokasi PULADA sekarang) dan nama Pusat Latihan tersebut telah diubah menjadi Pusat Latihan Angkatan Darat Timur Jauh atau ‘Far East Land Force Training Centre’ (FARELF). 

 Apabila General Sir Gerald Templer dilantik menjadi Pengarah Gerakan, Pemerintahan Malaya (Director of Operations, Malaya Command) pada tahun 1952, beliau telah menukarkan nama ‘FARELF Training Centre’  menjadi Sekolah Peperangan Hutan atau ‘Jungle Warfare School’  (JWS).  Ini adalah sesuai dengan kegiatan-kegiatan latihan yang dilaksanakan di pusat latihan tersebut pada waktu itu yang ditumpukan kepada latihan operasi hutan.  Seterusnya, JWS telah dijadikan sebagai satu cawangan kepada ‘School of Infantry’  Tentera British di Warminster, United Kingdom.  Dalam tahun 1950-an juga, usaha-usaha yang aktif terus dilaksanakan dalam memerangi pengganas komunis.  Sejajar dengan peranannya, JWS telah dipertanggungjawabkan untuk melatih anggota-anggota tentera Komanwel dalam kepakaran operasi hutan untuk melawan ancaman pengganas komunis.  Keadaan pada waktu itu memerlukan batalion–batalion infantri dari negara-negara Komanwel melaksanakan latihan semula (retraining) dan juga latihan penyesuaian di JWS sebelum ditugaskan untuk melaksanakan operasi menentang pengganas komunis di Malaya.  Sehingga ke waktu kemuncak darurat di Malaya, sebanyak 35 batalion infantri negara-negara Komanwel telah melasanakan latihan mereka di JWS.     

Gen Sir Gerald Templer
Pada tahun 1957, keadaan darurat di Malaya telah mula reda dan ini telah menyebabkan kegiatan-kegiatan latihan batalion-batalion infantri di JWS dikurangkan. Namun demikian, latihan-latihan kepakaran tertentu di dalam bidang peperangan hutan dikekalkan. Ini merupakan satu langkah yang bijak kerana pergolakan keselamatan serantau pada awal tahun 1960-an memerlukan penggunaan kepakaran-kepakaran tersebut dalam ancaman keadaan keselamatan ketika itu.
 

Pada tahun 1962, pemberontakan Brunei (Brunei Rebellion) tercetus.  Ini diikuti pula dengan ancaman Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Di dalam menghadapi pihak Indonesia, beberapa negara Komanwel turut serta membantu Malaysia dengan menghantar pasukan-pasukan tentera mereka. Ke arah usaha ini, JWS telah diperbesarkan untuk memenuhi keperluan latihan pasukan-pasukan tentera Negara berkenaan sebelum diaturgerak untuk melaksanakan operasi-operasi di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Peranan yang dimainkan oleh JWS di dalam mengembang dan menyebarkan pembelajaran ilmu kepakaran peperangan hutan telah mendapat perhatian yang meluas dari masyarakat tentera antarabangsa pada ketika itu.
 

Lokasi Penempatan

Kem Ulu Tiram Kota Tinggi Johor
 
Setelah tamatnya Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1965, pergolakan keselamatan di IndoChina terus menghidupkan keperluan kepakaran peperangan hutan.  Oleh kerana kemampuan dan prestasi JWS telah tersebar luas, maka ia pula telah digunakan sebagai pusat untuk melatih anggota-anggota tentera beberapa negara sahabat sebelum mereka ditugaskan ke Vietnam Selatan.  Memandangkan dasar rasmi United Kingdom terhadap Vietnam Selatan pada ketika itu adalah dasar tidak campur tangan (non intervention) maka bantuan-bantuan latihan yang diberikan di JWS adalah secara terselindung. Di bawah naungan ‘Service Training Assistance Program’, pihak United Kingdom telah melatih anggota-anggota tentera Thailand dan Vietnam Selatan di JWS.  Kawasan latihan utama yang digunakan ialah kawasan yang dikenali sekarang sebagai Kampung Hutan (Jungle Village).


Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaysia (Anglo-Malaysia Defence Agreement (AMDA)) pada tahun 1971 telah melihat pengunduran tentera British dari Malaysia.  Oleh kerana pentingnya JWS dan kemanfaatannya, pihak British telah berusaha untk menjadikan Pusat Latihan tersebut sebagai Pusat Latihan Peperangan Hutan Komanwel (Commonwealth Jungle Warfare Centre) sebelum mereka berundur dari Malaysia. Namun demikian, usaha mereka tidak berhasil dan JWS telah ditamatkan pada 1 November 1971 dengan Col John Cross sebagai Komandannya yang terakhir. Seterusnya persiapan dibuat untuk menyerahkan Pusat Latihan tersebut kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Proses serah menyerah di antara pihak British dan Malaysia telah berlangsung di antara 2 November 1971 hingga 8 Disember 1971.

Gambar Udara PULADA (Dahulu)


Komandan PULADA yang pertama ialah Kolonel Lai Chung Wah (bersara dengan pangkat Mejar Jeneral).  Beliau bersama-sama kumpulan anggota perintis yang terdiri daripada 36 orang pegawai (termasuk 8 pegawai British dan Australia), 382 anggota LLP serta 190 pekerja awam telah menjalankan tugas-tugas penubuhan dan mengendalikan Pusat Latihan ini sebagai satu Pusat Latihan Tentera Darat Malaysia yang terbesar. 

Penubuhan PULADA adalah hasil daripada perkembangan pesat yang berlaku dalam ATM mulai tahun 1969.  Didapati juga pada ketika itu Sekolah Latihan Tentera Malaysia (Malaysian Military Training School (MMTS)) di Port Dickson yang mengendalikan keseluruhan aspek latihan anggota-anggota tentera terlatih, tidak lagi dapat menampung penambahan pelatih dan juga kawasannya yang terhad untuk menampung infrastruktur yang lebih besar.

Penetapan telah dibuat untuk memindahkan Cawangan Muslihat Semua Perkhidmatan (All Arms Tactics Wing), Cawangan Taktik dan Cawangan Senjata dari MMTS ke PULADA. Ini merupakan asas kewujudan PULADA. Setelah PULADA diwujudkan, beberapa Bahagian dan Cawangan lain telah diwujudkan sesuai dengan keperluan dan perkembangan TD. Ini termasuk penubuhan Cawangan Serigala (sekarang Cawangan Anjing Perang) yang mana merupakan satu-satunya unit PULADA yang terlibat dalam pelaksanaan tugas-tugas operasi. 

Pada tahun 1975,  pergolakan di Vietnam telah berakhir dengan pengunduran Tentera Amerika Syarikat dan juga kejatuhan Kerajaan Vietnam Selatan.  Kekalahan satu kuasa besar di tangan kuasa komunis telah membimbangkan negara-negara serantau. Keraguan dan kebimbangan ini telah bertambah apabila tentera Vietnam memasuki dan membantu pihak Khmer Rouge menjatuhkan Kerajaan Kampuchea pada 30 Disember 1978.



Hasil daripada persepsi ancaman Komunisme pada ketika itu,  ATM telah diperbesarkan (khususnya Tentera Darat) dengan pesatnya melalui Rancangan PERISTA. Pembesaran Tentera Darat (khususnya pasukan infantri) yang pesat ini telah menambahkan lagi tanggungjawab PULADA di dalam aspek-aspek latihan.

Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM)
Mej Jen Dato' Amir bin Baharuddin


PULADA telah menghadapi masalah yang ketara untuk menampung peserta-peserta kursus, khususnya Kursus Muslihat Asas Ketua Platun (MAKP). Ketetapan telah dibuat oleh Tentera Darat agar Cawangan (MAKP) dipindahkan ke Kem Paradise, Kota Belud, Sabah. Pemindahan ini telah dilaksanakan pada 9 Januari 1981 oleh seramai 12 pegawai perintis yang diketuai oleh Lt Kol Amir Baharudin (Mej Jen Dato’ Amir Baharudin).  Setelah bertapak di Kota Belud, Cawangan MAKP telah mendapat perhatian khusus pihak atasan dan seterusnya dipisahkan daripada naungan PULADA.
Dengan perpisahan ini, maka wujudlah Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM) di Kem Paradise, Kota Belud, Sabah (FED(M)/4090/1/81) dengan Lt Kol Amir bin BAharudin sebagai Komandannya yang pertama.  Cogankata STPM ialah ‘SASARANKU LANGIT’  dan kursus yang dikendalikannya ditukarkan menjadi Kursus Tempur Pegawai Muda. Kursus pertama telah dijalankan pada 9 Februari 1981 hingga 20 Jun 1981.

Perpindahan STPM ke Ulu Tiram


Disebabkan pengimplementasian Rancangan PERISTA hampir selesai dan keadaan serantau mulai reda, maka STPM telah dipindahkan ke Ulu Tiram, Johor pada akhir tahun 1984 dan menduduki kawasan Kem PULADA.  STPM pada waktu itu merupakan sebuah organisasi yang berasingan dengan PULADA. Pada 31 Disember 1988, organisasi STPM telah digantung dan ianya digabungkan dengan organisasi PULADA dan dikenali sebagai Bahagian Infantri (KP/TD/P&P/4019/1/L bertarikh 6 Januari 1989).

Dengan tertubuhnya Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat Markas PL&DTD (sekarang Markas Pemerintahan Latihan Tentera Darat) pada 1 Januari 1994, PULADA diletak di bawah tanggungjawab Markas tersebut dan tidak lagi kepada Cawangan Latihan Department Tentera Darat.  Pada 1 Mei 1995, nama Pusat Latihan Darat, telah ditukar menjadi ‘Pusat Latihan Tempur Tentera Darat’ tetapi masih mengekalkan akronimnya ‘PULADA’.


Semenjak tertubuhnya PULADA, ianya merupakan sebuah Institusi Latihan Tempur yang utama bagi Tentera Darat. Kemampuannya telah dipertingkatkan sejajar dengan pembangunan Tentera Darat khususnya dalam bidang tempur. Sehingga kini PULADA kekal dengan tujuan asalnya sebagai Pusat Latihan Tempur yang mengendalikan kursus untuk para pegawai dan anggota LLP (termasuk mereka dari negara-negara asing).

 WAWASAN 
 Menjadi pusat cemerlang di dalam pengurusan bidang pertahanan

 MISI 
 Untuk melatih semua peringkat anggota Tentera Darat mencapai kemahiran dalam 
 latihan individu berorientasikan tempur, persenjataan infantri dan kursus-kursus 
 kepakaran
 
 
Kursus-Kursus
   
Staf dan Taktik Gred 2 ( Menggantikan Kursus Taktik Semua Pasukan dan berpindah ke KTD pada 1 Jan 2014 )
  • Ketua Kompeni
  • Ketua Platun Inf
  • Taktik Pen Ketua Platun
  • Taktik Ketua Seksyen
  • Ketua Pl Senjata Berat
  • Ketua Sek Senjata Berat
  • Ketua Platun 81mm Mortar
  • Ketua Sek 81mm Mortar
  • Ketua Pl Anti Kereta Kebal
  • Ketua Sek Anti Kereta Kebal
  • Pengasuh Senjata Kecil
  • Pengurusan Tembak Tempur
  • Ikhtiar Hidup Pertempuran
  • Operasi Hutan
  • Pengesan Tempur
  • Pengawas Anjing Perang
  • Tinjau Inf
  • Sniper Inf
  • Jurulatih Sniper Inf
Aktiviti-Aktiviti Kursus

Kursus Staf & Taktik G2

Kursus Senjata Mortar
Perkampunag Ikhtiar Hidup
Lawatan Tentera Asing ke Perkampungan Ikhtiar Hidup
Tim Cwg Anjing Perang Terlibat dalam Operasi
Tim Cwg Anjing Perang Terlibat dalam Operasi
Latihan Mengendap (Stalking)
Senarai Komandan PULADA







































































 






1 comment:

  1. MEGAWAYS CASINO (2021) - Dr. MD
    The MEGAWAYS 의왕 출장샵 CASINO has been open since September 2020. The casino's 160000 square foot gaming space offers 경기도 출장마사지 over 전라북도 출장샵 1200 gaming 밀양 출장안마 machines, 양산 출장마사지 20 table games

    ReplyDelete