PUSAT LATIHAN TEMPUR TENTERA DARAT (PULADA)
Latar Belakang
Selepas tamat Peperangan Dunia Kedua dan penyerahan kalah
pihak Jepun ke atas Malaya, pihak Inggeris merasakan sebuah pusat latihan untuk
melatih tentera-tentera Inggeris dalam peperangan hutan amat diperlukan. Hasrat
ini timbul hasil pengalaman dan pengajaran dalam peperangan yang dilaluinya di
Asia Tenggara. Bagi merealisasikan hasrat ini, pada tahun 1948, pihak Inggeris
telah menubuhkan sebuah Pusat Latihan Timur Jauh (Far East Training Centre) di Tampoi, Johor.
Pada tahun 1951, Pusat latihan ini telah dipindahkan ke
Ulu Tiram, Johor (lokasi PULADA sekarang) dan nama Pusat Latihan tersebut telah
diubah menjadi Pusat Latihan Angkatan Darat Timur Jauh atau ‘Far East Land Force Training Centre’
(FARELF).
Apabila General Sir Gerald Templer dilantik
menjadi Pengarah Gerakan, Pemerintahan Malaya (Director of Operations, Malaya Command) pada tahun 1952, beliau
telah menukarkan nama ‘FARELF Training
Centre’ menjadi Sekolah Peperangan
Hutan atau ‘Jungle Warfare School’ (JWS).
Ini adalah sesuai dengan kegiatan-kegiatan latihan yang dilaksanakan di
pusat latihan tersebut pada waktu itu yang ditumpukan kepada latihan operasi
hutan. Seterusnya, JWS telah dijadikan sebagai
satu cawangan kepada ‘School of Infantry’ Tentera British di Warminster, United
Kingdom. Dalam tahun 1950-an juga,
usaha-usaha yang aktif terus dilaksanakan dalam memerangi pengganas komunis. Sejajar dengan peranannya, JWS telah
dipertanggungjawabkan untuk melatih anggota-anggota tentera Komanwel dalam
kepakaran operasi hutan untuk melawan ancaman pengganas komunis. Keadaan pada waktu itu memerlukan
batalion–batalion infantri dari negara-negara Komanwel melaksanakan latihan
semula (retraining) dan juga latihan
penyesuaian di JWS sebelum ditugaskan untuk melaksanakan operasi menentang
pengganas komunis di Malaya. Sehingga ke
waktu kemuncak darurat di Malaya, sebanyak 35 batalion infantri negara-negara
Komanwel telah melasanakan latihan mereka di JWS.
Gen Sir Gerald Templer |
Pada tahun 1957, keadaan darurat di Malaya telah
mula reda dan ini telah menyebabkan kegiatan-kegiatan latihan batalion-batalion
infantri di JWS dikurangkan. Namun demikian, latihan-latihan kepakaran tertentu
di dalam bidang peperangan hutan dikekalkan. Ini merupakan satu langkah yang
bijak kerana pergolakan keselamatan serantau pada awal tahun 1960-an memerlukan
penggunaan kepakaran-kepakaran tersebut dalam ancaman keadaan keselamatan
ketika itu.
Pada tahun 1962, pemberontakan Brunei (Brunei Rebellion) tercetus. Ini diikuti pula dengan ancaman Konfrontasi
Malaysia-Indonesia yang menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Di dalam
menghadapi pihak Indonesia, beberapa negara Komanwel turut serta membantu
Malaysia dengan menghantar pasukan-pasukan tentera mereka. Ke arah usaha ini,
JWS telah diperbesarkan untuk memenuhi keperluan latihan pasukan-pasukan
tentera Negara berkenaan sebelum diaturgerak untuk melaksanakan operasi-operasi
di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peranan yang dimainkan oleh JWS di dalam mengembang dan
menyebarkan pembelajaran ilmu kepakaran peperangan hutan telah mendapat
perhatian yang meluas dari masyarakat tentera antarabangsa pada ketika itu.
Lokasi Penempatan
Kem Ulu Tiram Kota Tinggi Johor |
Setelah tamatnya Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada
tahun 1965, pergolakan keselamatan di IndoChina terus menghidupkan keperluan
kepakaran peperangan hutan. Oleh kerana
kemampuan dan prestasi JWS telah tersebar luas, maka ia pula telah digunakan
sebagai pusat untuk melatih anggota-anggota tentera beberapa negara sahabat
sebelum mereka ditugaskan ke Vietnam Selatan.
Memandangkan dasar rasmi United Kingdom terhadap Vietnam Selatan pada
ketika itu adalah dasar tidak campur tangan (non intervention) maka bantuan-bantuan latihan yang diberikan di
JWS adalah secara terselindung. Di bawah naungan ‘Service Training Assistance Program’, pihak United Kingdom telah
melatih anggota-anggota tentera Thailand dan Vietnam Selatan di JWS. Kawasan latihan utama yang digunakan ialah
kawasan yang dikenali sekarang sebagai Kampung Hutan (Jungle Village).
Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaysia (Anglo-Malaysia Defence Agreement (AMDA))
pada tahun 1971 telah melihat pengunduran tentera British dari Malaysia. Oleh kerana pentingnya JWS dan
kemanfaatannya, pihak British telah berusaha untk menjadikan Pusat Latihan
tersebut sebagai Pusat Latihan Peperangan Hutan Komanwel (Commonwealth Jungle Warfare Centre) sebelum mereka berundur dari
Malaysia. Namun demikian, usaha mereka tidak berhasil dan JWS telah ditamatkan
pada 1 November 1971 dengan Col John Cross sebagai Komandannya yang terakhir.
Seterusnya persiapan dibuat untuk menyerahkan Pusat Latihan tersebut kepada
Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Proses serah menyerah di antara pihak British
dan Malaysia telah berlangsung di antara 2 November 1971 hingga 8 Disember
1971.
Gambar Udara PULADA (Dahulu) |
Komandan PULADA yang pertama ialah Kolonel Lai
Chung Wah (bersara dengan pangkat Mejar Jeneral). Beliau bersama-sama kumpulan anggota perintis
yang terdiri daripada 36 orang pegawai (termasuk 8 pegawai British dan Australia),
382 anggota LLP serta 190 pekerja awam telah menjalankan tugas-tugas penubuhan
dan mengendalikan Pusat Latihan ini sebagai satu Pusat Latihan Tentera Darat
Malaysia yang terbesar.
Penubuhan PULADA adalah hasil daripada perkembangan pesat
yang berlaku dalam ATM mulai tahun 1969.
Didapati juga pada ketika itu Sekolah Latihan Tentera Malaysia (Malaysian Military Training School
(MMTS)) di Port Dickson yang mengendalikan keseluruhan aspek latihan
anggota-anggota tentera terlatih, tidak lagi dapat menampung penambahan pelatih
dan juga kawasannya yang terhad untuk menampung infrastruktur yang lebih besar.
Penetapan telah dibuat untuk memindahkan Cawangan
Muslihat Semua Perkhidmatan (All Arms
Tactics Wing), Cawangan Taktik dan Cawangan Senjata dari MMTS ke PULADA.
Ini merupakan asas kewujudan PULADA. Setelah PULADA diwujudkan, beberapa
Bahagian dan Cawangan lain telah diwujudkan sesuai dengan keperluan dan
perkembangan TD. Ini termasuk penubuhan Cawangan Serigala (sekarang Cawangan
Anjing Perang) yang mana merupakan satu-satunya unit PULADA yang terlibat dalam
pelaksanaan tugas-tugas operasi.
Pada tahun 1975,
pergolakan di Vietnam telah berakhir dengan pengunduran Tentera Amerika
Syarikat dan juga kejatuhan Kerajaan Vietnam Selatan. Kekalahan satu kuasa besar di tangan kuasa
komunis telah membimbangkan negara-negara serantau. Keraguan dan kebimbangan
ini telah bertambah apabila tentera Vietnam memasuki dan membantu pihak Khmer
Rouge menjatuhkan Kerajaan Kampuchea pada 30 Disember 1978.
Hasil daripada persepsi ancaman Komunisme pada ketika
itu, ATM telah diperbesarkan (khususnya
Tentera Darat) dengan pesatnya melalui Rancangan PERISTA. Pembesaran Tentera
Darat (khususnya pasukan infantri) yang pesat ini telah menambahkan lagi
tanggungjawab PULADA di dalam aspek-aspek latihan.
Sekolah
Tempur Pegawai Muda (STPM)
PULADA telah menghadapi masalah yang ketara untuk
menampung peserta-peserta kursus, khususnya Kursus Muslihat Asas Ketua Platun
(MAKP). Ketetapan telah dibuat oleh Tentera Darat agar Cawangan (MAKP)
dipindahkan ke Kem Paradise, Kota Belud, Sabah. Pemindahan ini telah dilaksanakan
pada 9 Januari 1981 oleh seramai 12 pegawai perintis yang diketuai oleh Lt Kol
Amir Baharudin (Mej Jen Dato’ Amir Baharudin).
Setelah bertapak di Kota Belud, Cawangan MAKP telah mendapat perhatian
khusus pihak atasan dan seterusnya dipisahkan daripada naungan PULADA.
Dengan perpisahan ini, maka wujudlah Sekolah Tempur Pegawai
Muda (STPM) di Kem Paradise, Kota Belud, Sabah (FED(M)/4090/1/81) dengan Lt Kol
Amir bin BAharudin sebagai Komandannya yang pertama. Cogankata STPM ialah ‘SASARANKU LANGIT’ dan kursus yang dikendalikannya ditukarkan
menjadi Kursus Tempur Pegawai Muda. Kursus pertama telah dijalankan pada 9
Februari 1981 hingga 20 Jun 1981.
Perpindahan STPM ke Ulu Tiram
Disebabkan pengimplementasian Rancangan PERISTA hampir
selesai dan keadaan serantau mulai reda, maka STPM telah dipindahkan ke Ulu
Tiram, Johor pada akhir tahun 1984 dan menduduki kawasan Kem PULADA. STPM pada waktu itu merupakan sebuah
organisasi yang berasingan dengan PULADA. Pada 31 Disember 1988, organisasi
STPM telah digantung dan ianya digabungkan dengan organisasi PULADA dan dikenali
sebagai Bahagian Infantri (KP/TD/P&P/4019/1/L bertarikh 6 Januari 1989).
Dengan tertubuhnya Markas Pemerintahan Latihan dan
Doktrin Tentera Darat Markas PL&DTD (sekarang Markas Pemerintahan Latihan
Tentera Darat) pada 1 Januari 1994, PULADA diletak di bawah tanggungjawab
Markas tersebut dan tidak lagi kepada Cawangan Latihan Department Tentera
Darat. Pada 1 Mei 1995, nama Pusat
Latihan Darat, telah ditukar menjadi ‘Pusat Latihan Tempur Tentera Darat’
tetapi masih mengekalkan akronimnya ‘PULADA’.
Semenjak tertubuhnya PULADA, ianya merupakan sebuah
Institusi Latihan Tempur yang utama bagi Tentera Darat. Kemampuannya telah
dipertingkatkan sejajar dengan pembangunan Tentera Darat khususnya dalam bidang
tempur. Sehingga kini PULADA kekal dengan tujuan asalnya sebagai Pusat Latihan
Tempur yang mengendalikan kursus untuk para pegawai dan anggota LLP (termasuk
mereka dari negara-negara asing).
WAWASAN
Menjadi pusat cemerlang di dalam pengurusan bidang pertahanan
MISI
Untuk melatih semua peringkat anggota Tentera Darat mencapai kemahiran dalam
latihan individu berorientasikan tempur, persenjataan infantri dan kursus-kursus
kepakaran
WAWASAN
Menjadi pusat cemerlang di dalam pengurusan bidang pertahanan
MISI
Untuk melatih semua peringkat anggota Tentera Darat mencapai kemahiran dalam
latihan individu berorientasikan tempur, persenjataan infantri dan kursus-kursus
kepakaran
Kursus-Kursus
Staf dan Taktik Gred 2 ( Menggantikan Kursus Taktik Semua Pasukan dan berpindah ke KTD pada 1 Jan 2014 )
- Ketua Kompeni
- Ketua Platun Inf
- Taktik Pen Ketua Platun
- Taktik Ketua Seksyen
- Ketua Pl Senjata Berat
- Ketua Sek Senjata Berat
- Ketua Platun 81mm Mortar
- Ketua Sek 81mm Mortar
- Ketua Pl Anti Kereta Kebal
- Ketua Sek Anti Kereta Kebal
- Pengasuh Senjata Kecil
- Pengurusan Tembak Tempur
- Ikhtiar Hidup Pertempuran
- Operasi Hutan
- Pengesan Tempur
- Pengawas Anjing Perang
- Tinjau Inf
- Sniper Inf
- Jurulatih Sniper Inf
Aktiviti-Aktiviti Kursus
Kursus Staf & Taktik G2 |
Kursus Senjata Mortar |
Perkampunag Ikhtiar Hidup |
Lawatan Tentera Asing ke Perkampungan Ikhtiar Hidup |
Tim Cwg Anjing Perang Terlibat dalam Operasi |
Tim Cwg Anjing Perang Terlibat dalam Operasi |
Latihan Mengendap (Stalking) |
Senarai Komandan PULADA